Saturday, December 10, 2011

Kursus Quantum GIS: Modul 1 - Penyediaan Lapisan Data

Persatuan Pegawai Perancang Bandar dan Desa Malaysia (PERSADA) akan mengadakan kursus di atas pada 10 - 12 Januari 2012 di Research Centre, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Kuala Lumpur. Kursus tersebut adalah terbuka untuk semua. Untuk maklumat lanjut dan borang pendaftaran - Klik Sini.

Selamat berkursus .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Menggabung Poligon Berasaskan Atribut


Tahukah anda bilangan poligon, nod atau titik mempengaruhi saiz data. Apabila saiz data besar, masa yang diperlukan untuk capaian dan memproses akan bertambah. Oleh itu amatlah penting untuk dipastikan semua lapisan data disunting dan diselenggara secara optima.

Sekiranya anda pernah memproses imej satelit atau mengemaskini data, anda sering berhadapan dengan keadaan di mana terdapat poligon yang berjiran mempunyai atribut yang sama. Sekiranya keadaan demikian dikekalkan masalah di atas akan juga terjadi.

Oleh itu, untuk menggabungkan polygon berjiran yang mempunyai atribut yang sama sebagai satu poligon, anda boleh menggunakan tool disolve dalam QGIS. Fungsi ini terdapat dalam plugin fTools. Apa yang perlu anda lakukan adalah memilih medan yang mengandungi atribut yang dingin digabungkan.

 

  

BELAJAR SENDIRI QGIS - KLIK SINI

Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Sunday, November 20, 2011

Eksport Data Atribut QGIS Ke MsExcell


Data atribut QGIS boleh diekspot ke pelbagai format seperti perisian MsOffice atau OpenOffice. Tidak seperti perisian GIS yang lain, kaedah untuk mengekspot data QGIS amat asas iaitu menggunakan kaedah salin dan tampal (copy & paste).

Untuk mengekspot data atribut QGIS ke perisian MsExcel langkah berikut boleh diambil.

  1. Buka “Attribute Table” lapisan data QGIS yang ingin diekspot.
  2. Pilih rekod yang hendak diekspot dan tekan butang seperti di bawah yang terdapat tetingkap Attribute table atau kekunci (Ctrl+C) untuk menyalin rekod yang diingini.

  1. Buka perisian MsExcel dan pilih sel di mana data tersebut ingin ditempatkan, kemudian tekan butang paste atau tekan kekunci (Ctrl+V) untuk tampal rekod berkenaan.
Hasilnya, tajuk kolum dan rekod yang dipilih akan dimasukkan ke lebaran kerja tersebut. Untuk melihat hasil sekiranya anda menampal ke perisian MsWords atau lain-lain perisian gunakan langkah yang sama.

BELAJAR SENDIRI QGIS - KLIK SINI

Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, November 5, 2011

Data Ekonomi


Pemboleh ubah ekonomi adalah perkara penting yang perlu dipertimbangkan dalam perancangan, selain alam sekitar dan sosial. Elemen ekonomi boleh dimasukkan dalam proses perancangan menggunakan beberapa teknik, seperti analisis kos faedah (cost-benefit analysis) dan penilain  impak ekonomi (economic impact assessments).

Tujuan teknik ini adalah untuk meramalkan perubahan dalam sektor pekerjaan, pendapatan, dan peringkat aktiviti perniagaan yang mungkin terhasil daripada projek atau program yang dicadangkan.

Antara data ekonomi yang boleh dibawa kedalam GIS bagi tujuan perancangan adalah:
  • Ciri-ciri pekerjaan penduduk
  • Ciri-ciri pekerjaan industri
  • Kadar penganggur
  • Peratusan buruh dan pekerja yang berkaitan
  • Kadar pengagihan pendapatan
  • Ruang lantai pejabat/jualan runcit
  • Bilangan industri
  • Bilangan perniagaan
Lapisan data ekonomi biasanya dimasukkan dalam proses perancangan dalam bentuk penilaian  impak ekonomi. Secara tradisional, ianya tidak menggunakan fungi ruang yang disediakan oleh GIS dan bergantung kepada analisis data ekonomi yang bukan ruang, memfokuskan faktor seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan rangkaian antara industri.

Dengan adanya teknologi GIS, beberapa teknik analisis ekonomi boleh diambil kira dalam konteks ruang seperti ”location quotion analysis” dan ”shift-share analysis”. Seperti data sosial, data ekonomi juga boleh dikumpulkan melalui bancian kebangsaan. Kemudian data tersebut dirangkaikan dengan unit ruang agregat (sebagai contoh, sempadan banci atau sempadan pihak berkuasa tempatan) dan digunakan untuk menghasilkan peta tema.

Data ekonomi menyediakan sumber penting maklumat ruang dan bukan ruang yang boleh dipertimbangkan dalam proses perancangan.

BELAJAR SENDIRI QGIS - KLIK SINI

Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Sunday, October 30, 2011

Data Sosial

Faktor sosial boleh memberi kesan kepada senario pembangunan bandar dan luar bandar. Data sosial tentang komuniti umum yang didapati melalui kajian lapangan dan bancian boleh diguna untuk memformulakan struktur sosial dan demografi sesuatu kawasan. Data bancian penduduk dan perumahan tahun 2010 umpamanya menyediakan banyak petunjuk sosial yang boleh menjadi input yang berguna dalam proses perancangan.

Antara data sosial yang boleh digunakan dalam GIS untuk tujuan perancangan:
  • Penduduk
  • Perumahan
  • Kemudahan Pendidikan
  • Kemudahan kesihatan
  • Lain-lain Kemudahan kemasyarakatan
  • Kemudahan perhubungan dan pengangkutan
Selalunya, pertimbangan sosial digabungkan dalam proses perancangan dalam bentuk penilaian kesan sosial (SIA). SIA menggunakan data demografi untuk menjana statistik dan peta tema kawasan tertentu yang menonjolkan pemboleh ubah sosial yang berbeza.

Lapisan data sosial juga boleh dibawa masuk kedalam GIS untuk menunjukkan perubahan seperti pertumbuhan atau kemerosotan penduduk. Hasil analisis data sosial seperti  kemudahsampaian penduduk kepada kemudahan boleh digunakan untuk menentukan lokasi kemudahan yang baru.

BELAJAR SENDIRI QGIS - KLIK SINI

Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, October 22, 2011

Data Alam Sekitar

Mengenalpasti keadaan alam sekitar pada awal proses perancangan boleh banyak membantu untuk mengelakkan impak negatif  dan potensi konflik yang bakal berlaku seterusnya menolong meletakkan perancang dalam aliran utama iaitu pertarungan yang sedang berlangsung untuk memastikan planet kita terus wujud. Adalah perlu untuk data alam sekitar dikutip dan dianalisis sebagai sebahagian daripada proses perancangan berkaitan dengan pengurusan sumber asli atau pengurusan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS).

Antara contoh set dataset alam sekitar yang boleh dibawa masuk dalam GIS untuk tujuan perancangan:
  • Kawasan hutan
  • Taman Negara, dan taman negeri
  • Geologi
  • Topografi
  • Ciri-ciri tanah
  • Tasik dan sungai
  • Kawasan tadahan air
  • Taman marin
  • Kawasan habitat hidupan liar
  • Data iklim

Mungkin peralatan perancangan yang paling kerap digunakan untuk menganalisis data alam sekitar adalah penilaian kesan terhadap alam sekitar (EIA). EIA digunakan untuk meramal dan menilai impak projek cadangan dan alternatifnya, dan kerap digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada pihak yang berminat dengan potensi impak .

Lapisan data alam sekitar boleh digunakan untuk menganalisis dan mempersembahkan potensi pembangunan bandar yang mungkin berhadapan dengan KSAS. Data ini mungkin akan menghasilkan komponen yang berharga kepada EIA atau boleh digunakan oleh badan kerajaan yang relevan untuk merumuskan pelan strategik. Dengan populasi manusia yang sekarang ini mencecah jutaan orang, adalah penting untuk seorang jururancang untuk memaksimumkan penggunaannya alam sekitar yang ada untuk memformulakan pembangunan mampan yang terbaik.

Penggunaan GIS sebagai alat perancangan memungkinkan usaha ini dilakukan dengan berkesan. Namun rekabentuk lapisan data memainkan peranan yang besar untuk memastikan data yang disediakan sesuai dengan jenis analisis yang bakal dilaksanakan.

BELAJAR SENDIRI QGIS - KLIK SINI.

Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, October 15, 2011

Data Untuk Perancangan Bandar dan Wilayah

Untuk mempersembahkan analisis yang diperlukan berhubung alam bina dan persekitaran semulajadi, seorang jururancang  perlu mengumpul dan mengklasifikasikan data yang releven. Tanpa lapisan data yang sesuai, pelan dan polisi yang penting tidak boleh diformulakan atau dipersembahkan kepada pembuat keputusan dan awam.

Apabila memformulakan pelan dan polisi, ada beberapa faktor yang perlu diambil kira. Untuk seorang jururancang mengukuhkan gambaran lengkap tugasan di tangan, mereka perlu tahu dan mempunyai akses kepada semua data yang relevan.

Secara umumnya, ada tiga kategori data perancangan iaitu alam sekitar, sosial dan ekonomi. Bagaimanapun, data perancangan tidak diklasifikasikan secara eksklusif sebagai alam sekitar, sosial dan ekonomi. Seperti yang ditunjukkan rajah dibawah, kategori tersebut boleh ditindih.

BELAJAR SENDIRI QGIS. - KLIK SINI -

Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, October 1, 2011

Mempersembahkan Hasil Analisis

GIS boleh digunakan untuk mengumpul, menyimpan, menganalisis dan memaparkan data ruangan / spatial. Sehubungan itu keupayaan GIS untuk memaparkan data boleh digunakan untuk mempersembahkan hasil analisis.

Untuk mempersembahkan hasil analisis, perlu diketahui kepada siapa ia akan diberikan dan bagaimana ia akan disampaikan. Kaedah untuk mempersembahkan hasil kerja GIS bergantung pada format persembahan iaitu sama ada dalam bentuk laporan, poster atau taklimat.  

QGIS mempunyai tool untuk mencetak peta mengikut saiz kertas yang diperlukan. Dalam bentuk digital QGIS berupaya untuk menyimpan paparan dalam bentuk imej dan fail pdf. Oleh itu kreativiti diperlukan untuk mempersembahkan hasil analisis secara berkesan. 

Sekali lagi diingatkan GIS hanyalah tools bukannya kotak ajaib atau Doreamon yang boleh mengeluarkan hasil secara automatik.

BELAJAR SENDIRI QGIS - Klik sini

Selamat mencuba .........................................
"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Sunday, September 11, 2011

Analisis Data


Keberkesanan perisian GIS boleh dinilai dari segi keupayaannya untuk melakukan analisis. Antara jenis analisis yang lazim digunakan adalah:
  • - Analisis tindih-atas
  • - Analisis permukaan
  • - Analisis rangkaian
  • - Analisis raster
Dalam perisian QGIS fungsi analisis terdapat dalam bentuk plugin. Contoh plugin yang dibangunkan yang mengandungi fungsi analisis adalah seperti fTools, Road Graph, Raster Terrain Analysis, Interpolation dan banyak lagi.

Keperluan analisis adalah bergantung kepada objektif projek seperti penilaian kesesuaian tapak, penilaian alternatif dan seumpamanya. Oleh itu adalah penting diketahui untuk apa GIS digunakan pada peringkat awal projek. Ini adalah kerana ia akan menentukan jenis analisis yang bakal digunakan serta rekabentuk lapisan data yang sesuai untuk menyimpan maklumat sebagai persediaan analisis.


Perlu diingat GIS bukannya kotak ajaib yang boleh melakukan secara sendiri semua perkara yang diingini. Tatacara analisis dan jenis analisis yang sesuai digunakan perlu ditentukan oleh pengguna. Apa yang dilakukan oleh GIS hanyalah membantu pengguna melaksanakan analisis seperti yang telah dirancang.

BELAJAR SENDIRI QGIS - klik sini

Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, August 20, 2011

Pembangunan Pangkalan Data


Setelah anda mengetahui objektif projek, langkah selanjutnya adalah mengenalpasti apakah data yang diperlukan. Data boleh dikategorikan kepada 3 iaitu yang amat berkaitan, berkaitan dan tidak berkaitan.

Semasa menyedia projek, anda hendaklah memberi tumpuan kepada 2 kategori data sahaja iaitu yang amat berkaitan dan berkaitan. Usah asyik kumpul data walaupun ianya mudah diperolehi atau telah diberikan kepada anda secara percuma sekiranya ia tidak berkaitan . Kehadirannya hanya akan menyemakkan pangkalan data dan mengganggu tumpuan anda kepada projek.

Kadangkalan data-data yang diperlukan tidak semuanya telah tersedia untuk digunakan. Ada setengahnya perlu disediakan sendiri dan sesetengah walaupun telah tersedia perlu diolah semula khusus untuk projek.

Sehubungan itu dalam semua keadaan, rekabentuk pangkalan data perlu disediakan terlebih dahulu. Perkara-perkara yang perlu semasa rekabentuk setiap lapisan data adalah seperti berikut:
·        Nama lapisan data
·        Keterangan berhubung lapisan data
·        Struktur pangkalan data
·        Jenis data (titik / garisan / poligon)
·        Sistem unjuran
·        Sumber data
·        Tarikh penyediaan

Setelah mengenalpasti data yang diperlukan beserta dengan rekabentuknya, padankan dengan senarai maklumat yang telah tersedia. Sekiranya tidak menepati atau tidak mencukupi rancang bagaimana untuk mengolah semula data yang tersedia atau mendapatkan data yang tiada.

BELAJAR SENDIR QGIS

Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Sunday, August 14, 2011

Penentuan Objektif Projek


Tidak kira peisian GIS apa yang digunakan, penyediaan projek GIS perlu mempunyai objektif. Sekiranya kita menggunakan QGIS sekalipun tanpa matlamat projek, ianya akan menjadi sia-sia atau syok sendiri. Kita tidak akan mendapat manfaat kecuali apa yang telah kita ketahui.

Terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan semasa menyedia projek GIS. Di peringkat ini soalan-soalan penting dalam GIS perlu kerap ditanya.
  • Apakah masalah yang hendak diselesaikan?
  • Bagaimana ianya diselesaikan sekarang?
  • Adakah GIS dapat digunakan bagi menyelesaikan masalah tersebut?
  • Untuk apa projek akan digunakan? Peta untuk laporan atau peta kerja atau bahan persembahan atau taklimat?
  • Kepada siapakan hasil kerja akhir nanti akan diserahkan untuk kegunaan lanjut?
  • Adakah orang lain akan menggunakan data yang sama? Kalau ada untuk tujuan apa?
  • Siapakah yang akan menggunakan hasil projek - Juruteknik, Jururancang, Pihak Pentadbir, Orang Awam? 
  • Dan bermacam-macam lagi soalan.
Perlu diingat, GIS bukan segala-galanya. Ini adalah kerana tidak semua masalah dapat diselesaikan menggunakan GIS. Contohnya masalah rumah tangga, masalah kewangan dan seumpamanya, tidak boleh diselesaikan menggunakan GIS.


Oleh itu kita hanya menggunakan GIS sebagai alat untuk memodelkan aspek spatial yang berkaitan dengan objektif projek atau masalah yang ingin diselesaikan.

BELAJAR SENDIRI QUANTUM GIS


Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, August 6, 2011

Penyediaan Projek GIS



Projek GIS disediakan untuk sesuatu tujuan. Sesebuah organisasi akan berfungsi dengan lebih berkesan sekiranya maklumat yang tepat boleh diperolehi dengan segera dalam membuat keputusan. Keupayaan dan kepintaran GIS berpotensi untuk digunakan sebagai satu sistem sokongan untuk membuat keputusan.


Proses Penyediaan:

1. Menentukan Objektif Projek
2. Membina Pangkalan Data
3. Menganalisis Data
4. Mempersembahkan Hasil Analisis


Untuk belajar sendiri Quantum GIS KLIK SINI


Selamat mencuba .........................................


"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, July 30, 2011

Memaparkan Lapisan Data Pelbagai Unjuran




Sekiranya anda mempunyai data menggunakan pelbagai unjuran, contohnya data topografi dalam unjuran RSO, data GPS dalam unjuran WGS 84 dan data kadester dalam unjuran cassini, anda boleh memaparkannya secara bersama dengan menggunakan kaedah “On The Fly Projection”.

Langkah yang perlu diambil untuk melaksanakan kaedah ini, anda perlu terlebih dahulu menentukan (define) unjuran yang betul bagi setiap lapisan data. Setelah itu buka semua lapisan data berkenaan. Pilih menu system properties dan tandakan Enable on the Fly CRS transformation. Anda boleh memelih mana-mana unjuran untuk dijadikan sebagai unjuran rujukan.




Namun apabila melibatkan lapisan data raster, anda hendaklah memilih unjuran yang digunapakai oeh data raster sebagai unjuran rujukan. Sekiranya tidak berbuat demikian, data raster anda tidak akan dipamerkan bersama dengan data-data lain.

Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, July 23, 2011

Belajar Sendiri Quantum GIS



Berminat untuk menggunakan Quantum GIS tetapi tidak tahu bagaimana nak mula?




Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Unjuran WGS 84


Tahukah anda, bacaan kordinat yang diberikan oleh GPS (Global Positioning System) menggunakan unjuran apa? Sekiranya anda ingin menggunakan data GPS dalam kerja-kerja GIS, sistem unjuran yang perlu dipadankan dengan data tersebut adalah WGS 84. Sistem unjuran ini merupakan unjuran piawai bagi data-data yang merujuk kepada unjuran dunia.

Selain dari data GPS unjuran WGS 84 juga digunakan bagi imej satelit “Google Earth”, peta dunia digital dan kebanyakkan produk peta digital yang dikeluarkan di peringkat antarabangsa. Dalam QGIS unjuran WGS 84 tergolong dalam kategori Geographic Coordinate Systems. Untuk memilih unjuran tersebut rujuk pada rajah berikut:


Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, July 16, 2011

Unjuran Cassini Negeri Malaysia



Peta lot tanah atau peta kadester yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menggunakan unjuran cassini. Mengikut unjuran cassini setiap negeri mempunyai titik rujuknya yang tersendiri.

Oleh itu apabila memperolehi data peta kadester sama ada dalam bentuk digital atau imej untuk digunakan dalam GIS, perlu diketahui data tersebut merujuk pada negeri mana. Ini adalah untuk membolehkan kita memilih unjuran cassini yang sesuai untuk digunapakai bagi data tersebut.

Parameter unjuran cassini dalam QGIS terletak dalam kategori Projected Cordinate Systems. Pilihlah unjuran yang sesuai bagi data mengikut kedudukan negeri semasa menentukan Coordinate Reference System bagi data yang diperolehi dari perisian lain atau semasa mendaftarkan imej untuj dijadikan peta asas.
 Selamat mencuba .........................................


"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Sunday, July 10, 2011

Unjuran Malaysia RSO

Peta topografi yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia menggunakan unjuran Rectified Skew Orthomorpic (RSO). Untuk meletakkan data spatial di kedudukan yang betul sistem unjuran RSO perlu dipadankan dengan data tersebut. Untuk menentukan sistem unjuran yang diperlukan anda boleh menggunakan tool define layer dan memilih Cordinate Reference System (CRS) yang bersesuaian.

Dalam QGIS unjuran RSO terletak dalam kategori Projected Coordinate Systems dan sub kategori Oblique Mercator. Terdapat beberapa parameter unjuran RSO. Anda perlu memilih parameter yang sesuai untuk data spatial tersebut. Untuk mengetahui parameter yang sesuai, sumber asal data spatial perlu dirujuk.


Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, July 2, 2011

Unjuran Peta


Dalam mengguna GIS unjuran peta perlu diberi perhatian. Ini adalah kerana setiap data spatial perlu mempunyai sistem rujukan dalam bentuk unjuran peta. Tanpa maklumat unjuran peta, penggiraan luas tidak akan bermakna dan data spatial tidak dapat guna secara bersama.

Bagi pengamal GIS di Malaysia terdapat tiga unjuran peta yang perlu difahami asasnya; sistem unjuran dunia, Malaysia rectified skew othomopic dan cassini negeri. Sebagai pengguna awam, unjuran bagi sistem dunia adalah WGS84.

QGIS menyediakan parameter bagi ketiga-tiga unjuran yang diperlukan oleh pengguna di Malaysia. Semasa mengimport data dari perisian lain, unjuran peta perlu ditentukan (define) terlebih dahulu. Sekira tidak ditentukan QGIS akan mengandaikan unjuran peta yang digunakan adalah mengikut default iaitu unjuran dunia. Untuk tentukan unjuran peta atau membetulkan unjuran peta bagi data spatial guna plugin fTool seperti berikut:



Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Sunday, June 26, 2011

Quantum GIS Ver. 1.7


Pada 19 Jun 2011, Quantum GIS telah mengeluarkan versi 1.7. Para pengguna boleh memuat-turun perisian tersebut daripada laman web www.qgis.org.

Sebelum memasang perisian baru ini, para pengguna dinasihatkan supaya membuang pemasangan perisian terdahulu bagi melancarkan proses pemasangan dan pengurangkan konflik pada perisian versi terbaru.

Untuk keterangan lanjut berhubung penambahbaikan versi 1.7 sila KLIK DISINI.

 Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, June 18, 2011

Memaparkan data google dan openstreet


Qgis mempunyai plugin bagi membolehkan data google earth dan open street dibuka sebagai lapisan data secara dalam talian.Bagi tujuan ini anda perlu memuat turun dan memasang plugin  OpenLayer.

Dengan fungsi ini anda boleh melapiskan data yang telah disediakan ke atas imej google untuk dibuat perbandingan atau menjadikan imej tersebut sebagai peta asas atau mencerap objek yang terdapat dalam imej tersebut sebagai maklumat tambahan bagi projek anda. Malah banyak lagi yang boleh dimanfaatkan dengan adanya kemudahan ini. Semuanya bergantung kepada objektif projek atau tugasan yang dibuat.

Sebagai penutup dalam siri plugin mesti pasang, telitilah plugin-plugin yang terdapat dalam repository pembangun dan pihak ketiga. Mungkin telah terdapat plugin yang disediakan sesuai dengan apa yang ingin anda lakukan.


Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, June 11, 2011

Pengurusan Dan Pengolahan Data Vektor


Semasa menggunakan GIS untuk melaksanakan tugasan, banyak kerja pengolahan dan pengurusan data perlu dilakukan. Plugin fTools mempunyai pelbagai fungsi pengurusan dan pengolahan yang amat berguna. Fungsi-fungsi yang terdapat dalam plugin fTools adalah seperti berikut:



 
Seperti lazimnya soalan penting perlu diutarakan dalam setiap langkah. Apa yang ingin anda lakukan? Kemudian pilihlah tools yang boleh melaksanakan apa yang dihasratkan.

Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Sunday, May 29, 2011

Menghubungkan Objek Dengan Dokumen

Sekiranya anda ingin menghubungkan objek dalam lapisan data dengan apa-apa dokumen anda boleh buat demikian dengan memuat turun dan memasang Plugin eVis. Contoh dokumen yang boleh dihubungkan adalah seperti imej, dokumen teks, grafik, atau apajua dokumen dalam bentuk digital yang boleh dibuka dengan perisian yang terdapat dalam komputer anda.

Untuk menggunakan plugin ini anda perlu menyediakan satu medan untuk mengisi maklumat rujukan fail dalam lapisan data di mana terdapatnya objek yang ingin dihubungkan (contoh Imej dalam lapisan data InfraPt). Masukkan maklumat dokumen rujukan dalam medan tersebut. Nama fail dokumen yang hendak dirujuk hendaklah disertakan dengan dengan sambungannya seperti .jpg, .doc, .pdf, .dwg dan sebagainya.

Masukkan nama fail maklumat rujukan


Sebelum anda dapat menggunakan eVis untuk memaparkan dokumen yang dihubungkan beberapa konfigurasi perlu dibuat. Setelah anda memasang Plugin eVis, berapa plugin tools akan dtambah dalam plugin toolbar. Tekan butang eVis Event Browser dan pilih tab Option. Tentukan apakan maklumat yang ingin dihubungkan dan di mana maklumat tersebut boleh dicapai.

Masukkan sumber maklumat

Langkah selanjutnya adalah untuk mengarahkan komputer membuka dokumen mengikut jenis selain data imej seperti . doc menggunakan perisian Microsoft Words, .pdf; acrobat reader, .dwg: autocad dan sebagainya. Bagi tujuan ini anda perlu membuat konfigurasi pada tab Configure External Application. Masukkan nama sambungan fail dalam kolum Extension, kemudiaan klik dua kali pada kolum Application dan arahkan kepada fail .exe perisian yang boleh membuka fail tersebut. Bagi fail dalam format imej, anda boleh untuk tidak menentukan perisian yang perlu digunakan untuk membuka fail tersebut kerana QGIS akan membuka mengikut tetingkapnya yang tersendiri.
Menentukan fail exe bagi membuka fail

Setelah konfigurasi dibuat, untuk memaparkan dokumen yang dihubungkan, guna butang eVis Event Id Tools dalam plugin toolbar dan pilih pada objek yang telah dihubungkan dokumen. Pastikan lapisan data di mana objek tersebut disimpan aktif. Untuk membuka dokumen bukan imej, klik 2 kali pada nama fail dokumen yang dihubungkan dalam tab Display Event Browser.
Contoh paparan fail imej

 Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, May 21, 2011

Mendapatkan Perangkaan Asas Maklumat


Anda boleh mendapatkan perangkaan asas maklumat sesuatu lapisan data vektor dengan menggunakan plugin Statis. Untuk menggunakannya, mulakan plugin Statis, pilih lapisan data vektor dan pilih medan yang mengandungi maklumat yang diperlukan. Kesemua jenis medan sama ada jenis nilai atau teks boleh dipilih.

Anda boleh memilih untuk mendapatkan perangkaan asas maklumat bagi keseluruhan lapisan data atau mengikut objek-objek yang dipilih. Perangkaan asas yang boleh diperolehi melalui plugin ini antaranya hitung, nilai minima, nilai maksima, jumlah, nilai min, nilai penengah serta sisihan piawai. Histogram taburan frekuensi juga dihasilkan.

Apa yang penting dalam mengguna apajua fungsi GIS adalah mengetahui apa yang diingini atau apa yang ingin dilakukan. Perlu diingat GIS cuma alat yang boleh membantu anda menterjemahkan apa yang anda fikirkan secara sistematik berhubung pengolahan data spatial bukannya kotak ajaib.

Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, May 14, 2011

Kursus Modul 1: Quantum GIS ... sambungan

Suasana Semasa Kursus
Makmal GIS, KAED, UIAM


Selamat meneroka Quantum GIS .........................................


"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Kursus Modul 1: Quantum GIS


Kursus Modul 1: Quantum GIS – Penyediaan Lapisan Data telah berlangsung pada 10-12 Mei 2011 di Makmal GIS, KAED, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Seramai 24 peserta dari pelbagai agensi telah mengikuti kursus tersebut:

- Jabatan Hutan Sarawak
- Dewan Bandar raya Kuala Lumpur
- Universiti Teknologi Mara (Perlis)
- Universiti Malaya
- Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Sem. Malaysia
- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam
- Perbadanan Aset Keretapi
- Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan
- Pusat Infrastruktur Data Geospatial Negara (MaCGDI)

Kepada para-peserta diucapkan terima kasih kerana telah memberi sokongan terhadap program tersebut. Diharapkan ilmu yang dipelajari dapat disebarkan untuk meramaikan lagi komuniti Quantum GIS di Malaysia dan menjadikan rakyat Malaysia celik GIS.
  
Selamat meneroka Quantum GIS .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Saturday, May 7, 2011

Merubah Struktur Pangkalan Data


Semasa atau setelah anda menyediakan lapisan data, disedari ada maklumat attribute lain yang perlu dimasukkan. Bagaimana anda boleh melakukannya dalam QGIS?

Mengikut logik, apa yang perlu dibuat adalah dengan menambah medan dalam struktur pangkalan data.  Untuk melaksanakannya buka attribute table lapisan data yang ingin disunting dan setkan dalam mod edit dengan menekan butang Toggle editing mode. Setelah itu, tekan butang New column dan masukkan nama medan untuk maklumat yang ingin ditambah.

Bagaimana pula sekiranya anda ingin menghapuskan medan yang telah diwujudkan. Mengikut logik, apa yang perlu dibuat adalah menghapuskan medan yang tidak diperlukan. Cuba anda laksanakan tugasan ini.

Jika diperhatikan, butang Delete column dalam attribute table tidak aktif walaupun ia telah dalam editing mode. Jangan risau, bukan kesilapan anda, komputer atau perisian. Mungkin pada waktu ini pembangun QGIS belum lagi menjumpai cara untuk mengintegrasikan fungsi ini dalam komponen attribute table.

Namun komuniti QGIS telah menghasilkan plugin bagi membolehkan pengurusan attribute table dengan lebih komprehensif. Untuk tujuan ini anda perlu muat turun dan memasang Plugin Table Manager.

Peringatan: Sila kemaskini metadata lapisan data setiap kali anda merubah struktur pangkalan data.

Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Sunday, May 1, 2011

Mencari Objek

Data GIS mempunyai 4 ciri iaitu unsur spatial, attribute, perhubungan ruang dan dimensi masa. Antara keistimewaan GIS adalah kebolehan untuk mencari objek mengikut ciri-ciri tersebut.

QGIS menyediakan tools Query Builder, Search dan Advance Search bagi membuat pencarian data berunsur attribute.  Tools Query Builder boleh didapati dengan memilih lapisan data di mana tersimpannya attribute yang ingin dicari serta menekan butang kanan tetikus. Masukkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi dan tekan butang OK. Hasilnya hanya objek-objek yang memenuhi syarat sahaja akan dipaparkan.

Tools Search dan Advance Search boleh didapati dengan membuka attribute table pada lapisan data di mana maklumat ingin dicari tersimpan. Seperti tool Query Builder arahan SQL perlu digunakan.

Selain dari tools yang disediakan anda juga boleh memuat turun plugins dan memasang FindByAttribute dan Spatial Query Plugin bagi menambah kaedah untuk membuat pencarian. Anda boleh menggunakan tool FindByAttribute untuk membuat pencarian mudah data attribute.

Untuk membuat pencarian yang mempunyai unsur spatial dan perhubungan ruang anda boleh menggunakan Spatial Query Plugin. Dengan menggunakan Spatial Query Plugin anda boleh melaksanakan pencarian menggunakan operasi objek seperti persilangan, terkandung, mengandungi dan sebagainya.

Selamat mencuba .........................................

"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"