Saturday, January 8, 2011

Siri 3: Aplikasi GIS Dalam Perancangan Bandar & Wilayah

Kenapa Perlunya Perancangan Bandar dan Wilayah.

Perancangan Bandar dan Wilayah menyediakan prinsip dan teknik yang boleh gunakan untuk mengimbangi kedua-dua aspek iaitu binaan dan persekitaran semula jadi. Di Malaysia, peneraju perkhidmatan perancangan bandar dan wilayah ialah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa. Seperti yang dinyatakan di dalam misi jabatan tersebut, tujuan perancangan adalah untuk ”Mewujudkan Persekitaran Kehidupan Yang Berkualiti Dan Mampan Selaras Dengan Wawasan 2020”.

Banyak teknik dan prinsip perancangan reaktif dan proaktif yang digunakan dalam perancangan bandar dan wilayah untuk mengurus isu-isu penting seperti pengurusan trafik, kawalan penggunaan tanah, dan pembangunan ekologi mampan (Ecologically Sustainable Development). Objektif perancangan reaktif adalah untuk membanteras masalah yang lepas, manakala teknik dan prinsip perancangan proaktif digunakan untuk memberi maklumat isu dan kemungkinan senario mendatang sebelum ianya menjadi masalah.

Satu contoh perancangan reaktif; memperolehi maklumat tentang isu-isu yang berkaitan dengan penipisan lapisan ozon. Seorang perancang boleh membantu dengan mencari penyelesaian untuk memulihkan masalah global ini dengan membangunkan polisi pengangkutan yang mesra-alam (contoh: cuba meningkatkan penggunaan pengangkutan awam) dan tidak membenarkan penggunaan tanah industri yang tidak memelihara persekitaran dengan membuang sisa toxik ke bumi atau atmosfera.

Satu contoh perancangan proaktif ialah mewujudkan satu polisi dan pelan pembangunan strategik yang terkawal untuk melindungi kepentingan kawasan alam sensitif sekitar. Dengan perancangan yang betul, pembangunan yang tidak kena pada tempatnya dan kawasan yang bahaya boleh dihentikan sebelum ianya berlaku.

No comments:

Post a Comment