Saturday, February 26, 2011

Siri 10: Aplikasi GIS Dalam Perancangan Bandar & Wilayah (Siri Akhir)

Keperluan Kemahiran GIS

Fungsi GIS secara umumnya terbahagi kepada 4; (i) Perolehan data & Pra-pemprosesan, (ii) Pengurusan, penyimpanan & capaian data, (iii) Manipulasi & penganalisisan data, (iv) Persembahan data yang dijana.

Bagi memantapkan perkhidmatan perancangan bandar dan wilayah di Malaysia, semua personel pengurusan dan profesional serta kumpulan sokongan perlu mahir untuk menggunakan GIS mengikut bidang tugas masing-masing. Ringkasan keperluan kemahiran menggunakan GIS mengikut tugas serta jawatan merujuk pada sektor awam adalah seperti jadual berikut.

Telah diketahui umum, perisian GIS adalah mahal. Namun kini telah terdapat perisian GIS Open Source yang mesra pengguna (Quantum GIS) yang boleh dimuat turun secara percuma (http://myqgis.blogspot.com/2010/05/quantum-gis_4440.html) -Post May 20, 2010.

Bagi membantu personel bidangan perancangan bandar dan wilayah atau sesiapa sahaja yang ingin memahirkan diri menggunakan GIS empat modul kursus telah dirangka. (http://myqgis.blogspot.com/2010/12/kursus-quantum-gis.html) -Post December 14, 2010.

Pengumuman berhubung dengan tarikh kursus akan dibuat dari masa ke semasa. Sila email sjimpian@yahoo.com untuk keterangan lanjut.

Saturday, February 19, 2011

Siri 9: Aplikasi GIS Dalam Perancangan Bandar & Wilayah

Perancangan Strategik

Perancangan Strategik adalah berkaitan dengan keputusan jangka panjang dan sederhana yang dibuat. Ia mewujudkan polisi yang memberi panduan kepada pembangunan yang akan datang dan mempromosikan projek ekonomi atau projek berkepentingan sosial terpilih.

Perancangan strategik biasanya memberi kesan kepada gabungan peluang dan ancaman kepada komuniti. Sebagai contoh, peningkatan penduduk pada masa hadapan mungkin memberi kesan kepada kualiti persekitaran.
 
Dalam perancangan strategik, aktiviti tertentu dan lokasi tidak ditentukan. Lebih tepat, proses ini mencari isu besar dan menetapkan matlamat untuk dijadikan panduan kepada perkembangan yang akan datang; peruntukan tanah, kemudahan awam, pembangunan sistem pengangkutan, dan sebagainya.

Maklumat penggunaan tanah yang sedia ada, faktor demografi dan rangkaian pengangkutan memainkan peranan penting dalam proses ini. Sebagai contoh, kawasan yang luas terletak di kawasan bukan zon pembangunan di sempadan bandar boleh digunakan untuk pembangunan yang akan datang. Selalunya ciri kawasan ini didominasi oleh perumahan kampung dan pusat perniagaan yang tidak terancang.

Pelbagai tekanan kepentingan wujud dalam menentukan jenis pembangunan kawasan tersebut dimasa akan datang. Pemilik tanah mahukan tanah mereka diserapkan sebagai kawasan pembangunan. Pada waktu yang sama penduduk bandar sedia ada mengemukakan alternatif untuk “menghijaukan” kawasan tersebut. Alternatif seterusnya adalah untuk pembangunan bercampur dan penyediaan kemudahan awam keseluruhan secara optimum.

Jenis-jenis keputusan ini—membina atau menghijaukan—dibuat mengikut peringkat polisi dimana semua senario ini dipertimbangkan berdasarkan pertumbuhan bandar, peluang wilayah, impak tempatan, dan kepentingan awam. Sehubungan itu GIS boleh digunakan sebagai alat sokongan dalam membuat keputusan, yang boleh membantu menilai semua pilihan.

Saturday, February 12, 2011

Siri 8: Aplikasi GIS Dalam Perancangan Bandar & Wilayah

Penilaian Impak

Penilaian Impak menilai kesan positif dan negatif pembangunan baru sebagai sebahagian pengesahan perancangan. Ia memfokuskan jangkaan aktiviti ekonomi dan persekitaran yang dijana oleh pembangunan dan memahami kaitan impak di lokasi. Bentuk perancangan ini boleh melibatkan peringkat intuitif yang mudah untuk membuat keputusan berdasarkan pengetahuan secara teori atau ramalan.
Sebagai contoh, jika sebuah universiti mahu membesarkan dan membina kemudahan kampus yang akan datang di atas tanah yang telah dikenalpasti, ia memerlukan kelulusan penilaian impak . Penilaian impak mungkin melibatkan penilaian impak visual kawasan sekeliling terhadap karakternya dan penilaian impak ke atas pertambahan trafik serta tempat letak kereta yang sejajar.
GIS menyediakan peralatan yang canggih untuk seorang perancang membentangkan impak penilaian. Pakej perisian desktop GIS boleh digunakan untuk membentangkan ruang yang diperlukan dan analisis visual ke atas impak jangkaan dan mempersembahkan keputusan penilaian secara grafik dua dimensi atau tiga dimensi.

Tuesday, February 8, 2011

Siri 7: Aplikasi GIS Dalam Perancangan Bandar & Wilayah

Pemilihan Tapak

Pemilihan tapak dilakukan untuk memilih lokasi yang terbaik untuk sesuatu aktiviti. Dalam tugasan perancangan, aktiviti ini diketahui tetapi lokasi masih belum dikenalpasti lagi. Untuk mencari lokasi yang terbaik untuk sesuatu aktiviti, keperluan aktiviti perlu dipadankan dengan keadaan tanah. Seorang perancang memerlukan maklumat yang pelbagai tentang keperluan aktiviti terhadap ciri-ciri lokasi dan keadaan tanah supaya pengenalpastian dapat dibuat.

GIS adalah alat sistem sokongan perancangan yang boleh digunakan untuk menilai alternatif yang ada dan membuat keputusan. Ia boleh melibatkan proses pengulangan pertanyaan maklumat dan pencarian melalui paparan grafik, atau proses lebih formal yang dikenali sebagai penilaian pelbagai kriteria (Multi-Criteria Evaluation - MCE).

Memilih tapak yang terbaik untuk sesuatu aktiviti selalunya melibatkan penyeimbangan keperluan dan keinginan sesetengah pembuat keputusan. Proses pemilihan tapak biasanya diasaskan pada dua aspek iaitu kuantiti dan kualiti. GIS adalah alat yang sesuai untuk menghadapi dan memaparkan keputusan kuantiti, tetapi kurang membantu dalam analisis kualiti. Jadi, adalah penting untuk menyedari bahawa analisis GIS membantu dalam sebahagian proses pemilihan tapak dan pertimbangan perlu dibuat dengan mengambilkira aspek kualiti apabila perlu.