Saturday, February 19, 2011

Siri 9: Aplikasi GIS Dalam Perancangan Bandar & Wilayah

Perancangan Strategik

Perancangan Strategik adalah berkaitan dengan keputusan jangka panjang dan sederhana yang dibuat. Ia mewujudkan polisi yang memberi panduan kepada pembangunan yang akan datang dan mempromosikan projek ekonomi atau projek berkepentingan sosial terpilih.

Perancangan strategik biasanya memberi kesan kepada gabungan peluang dan ancaman kepada komuniti. Sebagai contoh, peningkatan penduduk pada masa hadapan mungkin memberi kesan kepada kualiti persekitaran.
 
Dalam perancangan strategik, aktiviti tertentu dan lokasi tidak ditentukan. Lebih tepat, proses ini mencari isu besar dan menetapkan matlamat untuk dijadikan panduan kepada perkembangan yang akan datang; peruntukan tanah, kemudahan awam, pembangunan sistem pengangkutan, dan sebagainya.

Maklumat penggunaan tanah yang sedia ada, faktor demografi dan rangkaian pengangkutan memainkan peranan penting dalam proses ini. Sebagai contoh, kawasan yang luas terletak di kawasan bukan zon pembangunan di sempadan bandar boleh digunakan untuk pembangunan yang akan datang. Selalunya ciri kawasan ini didominasi oleh perumahan kampung dan pusat perniagaan yang tidak terancang.

Pelbagai tekanan kepentingan wujud dalam menentukan jenis pembangunan kawasan tersebut dimasa akan datang. Pemilik tanah mahukan tanah mereka diserapkan sebagai kawasan pembangunan. Pada waktu yang sama penduduk bandar sedia ada mengemukakan alternatif untuk “menghijaukan” kawasan tersebut. Alternatif seterusnya adalah untuk pembangunan bercampur dan penyediaan kemudahan awam keseluruhan secara optimum.

Jenis-jenis keputusan ini—membina atau menghijaukan—dibuat mengikut peringkat polisi dimana semua senario ini dipertimbangkan berdasarkan pertumbuhan bandar, peluang wilayah, impak tempatan, dan kepentingan awam. Sehubungan itu GIS boleh digunakan sebagai alat sokongan dalam membuat keputusan, yang boleh membantu menilai semua pilihan.

No comments:

Post a Comment