Monday, May 18, 2015

Kursus Quantum GIS Lanjutan

Institut Latihan Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) telah mengadakan Kursus Quantun GIS Lanjutan pada 13 hingga 15 Mei 2015. Kursus tersebut telah dihadiri oleh 17 orang peserta dari pelbagai agensi; Jabatan Ukur dan Pemetaan Negara, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Politeknik Ungku Omar, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang, Jabatan Warisan Negara, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Selama tiga hari peserta telah didedahkan dengan teknik-teknik untuk mendaftar imej raster, penyuntingan data dan pelbagai fungsi analisis dalam Sistem Maklumat Geografi.



Kursus tiga hari tersebut diharap telah menambah pengetahuan peserta berhubung pelaksanaan analisis menggunakan perisian QGIS. Semoga ilmu yang diperoleh dapat dipraktik dan dikongsi dengan rakan-rakan di agensi masing-masing untuk mengembangkan lagi penggunaan Sistem Maklumat Geografi di Malaysia.


"SEMUA ORANG BOLEH MENGGUNA DAN MEMILIKI GIS"

Sunday, April 5, 2015

Penggunaan QGIS Dalam Kajian Rancangan Tempatan Daerah Kampar 2030

Pejabat Projek Zon Tengah, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia terlibat dalam penyediaan Rancangan Tempatan Daerah Kampar 2030. Sistem Maklumat Geografi telah digunakan untuk mencerap, mengumpul, menyimpan, menganalisis dan mempersembahkan data spatial dalam proses penyediaan rancangan tempatan tersebut.
Peta asas yang digunakan adalah peta kadaster digital JUPEM yang dibekalkan oleh Bahagian Maklumat Gunatanah Negara, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia pada tahun 2013. Oleh kerana maklumat peta asas kadester yang dibekalkan tidak lengkap, maklumat tambahan dari Majlis Daerah Kampar, Pejabat Tanah Daerah Kampar dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Perak telah dicerap menggunakan GIS untuk mengemaskini peta asas tersebut.
Perisian yang digunakan bagi kerja pencerapan data sepanjang kajian ini adalah Quantum GIS (QGIS). Namun terdapat beberapa keadaan terutama di peringkat analisis yang melibatkan fungsi union, perisian GIS lain digunakan. Ini disebabkan ketidak upayaan dan masalah teknikal yang belum dapat diselesaikan untuk pembangun sistem buat masa ini.

Maklumat yang dikumpul dari pelbagai sumber dan yang dijana sepanjang kajian telah disimpan dalam pangkalan data yang dinamakan KamparGIS. Penyimpanan dan penyusunan maklumat telah dibuat mengikut panduan yang dikeluarkan oleh Bahagian Maklumat Gunatanah Negara seperti berikut:
1.    Manual Sistem Maklumat Geografi (GIS) Kajian Rancangan Pemajuan, 2009,
2.    Draf Metadata Rancangan Tempatan, 2010,
3.    Klasifikasi dan Kod Warna Gunatanah Mengikut Kategori, 2013
Model pangkalan data Jabatan Perancangan Bandar dan Desa telah digunakan untuk menyusun lapisan data dalam KamparGis. 


Pangkalan data tidak bermakna sekiranya ianya tidak digunapakai dan dikemaskini secara berterusan. Terdapat banyak agensi yang boleh memenafaatkan KamparGIS untuk tujuan operasi dan pembuatan keputusan. Jabatan-jabatan teknikal di Majlis Daerah Kampar berpotensi untuk menjadi pengguna KamparGIS yang aktif dengan adanya hasrat untuk mengaplikasikan GIS di jabatan masing-masing. Perkembangan penggunaan GIS di peringkat jabatan akan memperkayakan pangkalan data KamparGIS dan berupaya untuk mewujudkan satu sistem pengurusan dan pelaksanaan yang efisien kearah urus tadbir yang baik di Majlis Daerah Kampar dan diperluaskan ke semua agensi di Daerah Kampar.

Penggunaan GIS perisian terbuka seperti Quantum GIS (QGIS) perlu diperkenalkan kepada bakal pengguna KamparGIS yang menghadapi masalah perolehan perisian GIS. QGIS adalah perisian terbuka yang boleh dimuat-turun secara percuma dari http:\\www.qgis.org. Ianya satu perisian yang mesra pengguna dan mudah dipelajari. Terdapat banyak bahan rujukan untuk latihan bagi mempelajari penggunaan perisian ini dalam internet yang boleh dijadikan sebagai bahan rujukan dan latihan.