Sunday, April 5, 2015

Penggunaan QGIS Dalam Kajian Rancangan Tempatan Daerah Kampar 2030

Pejabat Projek Zon Tengah, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia terlibat dalam penyediaan Rancangan Tempatan Daerah Kampar 2030. Sistem Maklumat Geografi telah digunakan untuk mencerap, mengumpul, menyimpan, menganalisis dan mempersembahkan data spatial dalam proses penyediaan rancangan tempatan tersebut.
Peta asas yang digunakan adalah peta kadaster digital JUPEM yang dibekalkan oleh Bahagian Maklumat Gunatanah Negara, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia pada tahun 2013. Oleh kerana maklumat peta asas kadester yang dibekalkan tidak lengkap, maklumat tambahan dari Majlis Daerah Kampar, Pejabat Tanah Daerah Kampar dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Perak telah dicerap menggunakan GIS untuk mengemaskini peta asas tersebut.
Perisian yang digunakan bagi kerja pencerapan data sepanjang kajian ini adalah Quantum GIS (QGIS). Namun terdapat beberapa keadaan terutama di peringkat analisis yang melibatkan fungsi union, perisian GIS lain digunakan. Ini disebabkan ketidak upayaan dan masalah teknikal yang belum dapat diselesaikan untuk pembangun sistem buat masa ini.

Maklumat yang dikumpul dari pelbagai sumber dan yang dijana sepanjang kajian telah disimpan dalam pangkalan data yang dinamakan KamparGIS. Penyimpanan dan penyusunan maklumat telah dibuat mengikut panduan yang dikeluarkan oleh Bahagian Maklumat Gunatanah Negara seperti berikut:
1.    Manual Sistem Maklumat Geografi (GIS) Kajian Rancangan Pemajuan, 2009,
2.    Draf Metadata Rancangan Tempatan, 2010,
3.    Klasifikasi dan Kod Warna Gunatanah Mengikut Kategori, 2013
Model pangkalan data Jabatan Perancangan Bandar dan Desa telah digunakan untuk menyusun lapisan data dalam KamparGis. 


Pangkalan data tidak bermakna sekiranya ianya tidak digunapakai dan dikemaskini secara berterusan. Terdapat banyak agensi yang boleh memenafaatkan KamparGIS untuk tujuan operasi dan pembuatan keputusan. Jabatan-jabatan teknikal di Majlis Daerah Kampar berpotensi untuk menjadi pengguna KamparGIS yang aktif dengan adanya hasrat untuk mengaplikasikan GIS di jabatan masing-masing. Perkembangan penggunaan GIS di peringkat jabatan akan memperkayakan pangkalan data KamparGIS dan berupaya untuk mewujudkan satu sistem pengurusan dan pelaksanaan yang efisien kearah urus tadbir yang baik di Majlis Daerah Kampar dan diperluaskan ke semua agensi di Daerah Kampar.

Penggunaan GIS perisian terbuka seperti Quantum GIS (QGIS) perlu diperkenalkan kepada bakal pengguna KamparGIS yang menghadapi masalah perolehan perisian GIS. QGIS adalah perisian terbuka yang boleh dimuat-turun secara percuma dari http:\\www.qgis.org. Ianya satu perisian yang mesra pengguna dan mudah dipelajari. Terdapat banyak bahan rujukan untuk latihan bagi mempelajari penggunaan perisian ini dalam internet yang boleh dijadikan sebagai bahan rujukan dan latihan.


No comments:

Post a Comment