Thursday, February 25, 2016

Kursus QGIS di Majlis Daerah Perak Tengah


Draf Rancangan Tempatan Daerah Perak Tengah 2030 telah tamat dipublisitikan pada 21 Januari 2016. Semasa kajian tersebut, Quantum GIS (QGIS) telah digunakan untuk mengumpul, menyimpan, menganalisis dan mempersembahkan data.  Semua data yang dikumpul dan dijana sepanjang kajian telah disimpan sebagai Pangkalan Data GIS Perak Tengah (PTghGIS). Pangkalan data tersebut telah diserahkan kepada Majlis Daerah Perak Tengah dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Perak untuk kegunaan seterusnya.

Untuk memenafaatkan pangkalan data yang telah disediakan, satu kursus QGIS telah dianjurkan oleh Majlis Daerah Perak Tengah pada 15 hingga 18 Februari 2016, bertempat di Bilik Mesyuarat Dato’ Sago, Bangunan Majlis Daerah Perak Tengah di Bandar Seri Iskandar. Peserta kursus adalah terdiri dari pegawai dari pelbagai jabatan dalam Majlis Daerah Perak Tengah. Turut sama adalah pegawai dari Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah dan pegawai dari Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Perak.


 Peserta telah didedahkan dengan asas penggunaan QGIS dan bagaimana pangkalan data PTghGIS perlu dikemaskini dan dikembangkan penggunaannya dalam kerja seharian dan operasi organisasi. Adalah diharapkan pangkalan data PTghGIS dapat dilebarluas penggunaannya kepada semua agensi teknikal peringkat daerah dan menjadi wadah perkongsian maklumat yang bersepadu.